PAS-DAP Selangor Rapatkan Barisan

Barisan pemimpin PAS dan DAP Selangor hari ini memaparkan kesepakatan mereka disebalik cubaan media Umno-BN untuk menggambarkan Pakatan Rakyat sebagai gagasan yang rapuh, khususnya di Selangor.

Kira-kira 20 pemimpin kanan kedua-dua parti itu hadir bersama di sidang media di sebuah hotel di Shah Alam selepas sidang meja bulat dua parti kerajaan itu untuk berdamai susulan ketegangan berhubung isu penjualan arak dan prosedur siasatan jawatankuasa khas DUN Selangor.

"Walaupun wujud perbezaan antara kedua-dua buah parti dari sudut dasar dan prinsip perjuangan, namun atas semangat setiakawan yang sejati, perbezaan itu mudah ditangani seperti isu pengawalan minuman arak dan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat)," kata Pesuruhjaya PAS negeri Datuk Dr Hasan Ali.

Beliau membacakan kenyataan bersama PAS dan DAP selepas lebih dua jam perbincangan mereka mulai 2 petang ini.

Turut kelihatan, Exco Kerajaan Tempatan Ronnie Liu, dan pemimpin DAP yang lain seperti Exco kanan kerajaan negeri Teresa Kok, exco kampung baru yang juga Pengerusi DAP negeri Ean Yong Hian Wah dan Exco Perumahan Negeri dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Iskandar Samad.

Sumber: http://www.tvantara.com/v1/