Kit Siang: Pakatan Akan Mohon Pendaftaran ROS

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata Pakatan Rakyat akan menimbang serius untuk mendaftar sebagai satu entiti berikutan pengesahan Pendaftar Pertubuhan ROS bahawa gagasan itu mempunyai segala kelayakan untuk berdaftar.

Pakatan Rakyat yang dianggotai Parti Keadilan Rakyat, PAS dan DAP sebelum ini mengalami pelbagai kekangan ketika berkempen pada mana- mana pilihanraya.

Ini berikutan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hanya parti yang bertanding sahaja boleh berkempen. Untuk pilihanraya kecil kerusi Bagan Pinang misalnya, hanya PAS dibenarkan menaikkan bendera, manakala DAP dan Keadilan dilarang berbuat demikian, ataupun membuka markas operasi.

Kit Siang berkata ketiga-tiga parti itu sudah bersedia untuk bergerak sebagai satu entiti setelah lebih setahun bergerak senada atas dasar persefahaman sesama mereka.

"Pakatan Rakyat akan mengusahakan penggabungan dibawah Akta Persatuan. ROS sebelum ini tetapkan parti politik yang mahu berdaftar mesti mempunyai 7 parti kompenan," kata Kit Siang.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, Datuk Md Alias Kalil semalam mengesahkan syarat tujuh anggota parti tidak lagi terpakai bagi parti politik bertaraf nasional.

"Memandangkan ROS sudah menyatakan demikian, kami di Pakatan Rakyat akan berusaha mendaftarkan gagasan ini sebagai satu parti. Ini akan membuka jalan yang lebih mudah kepada kami dalam mmbawa arus perubahan dalam sistem politik negara ini," tambah beliau.

Sumber: http://www.tvantara.com/v1/