Surat Pembaca




SURAT PEMBACA

Mengapa Melayu mula tertarik dengan DAP

Saya adalah seorang Melayu yang dilahirkan di Kangar, Perlis pada tahun 1963. Kini saya adalah seorang ahli DAP cawangan Padang Besar, Perlis. Saya telah tertarik dengan DAP sejak kembalinya bapa saya ke rahmatullah pada tahun 2005. Sebelum ini adalah keberatan untuk saya meninggalkan UMNO kerana arwah adalah salah seorang pengasas UMNO bersama Tan Sri Sheikh Ahmad yang berjuang sejak Malayan Union dan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu dan seterusnya Malaysia.

Selama 30 tahun saya menjadi ahli UMNO sejak dari Kelab UMNO luar negara hinggalah tahun 2011. Saya pernah berkhidmat sebagai pegawai kerajaan, pegawai bank dan kini ahli perniagaan. Persekolahan saya adalah bermula dari Kangar English School, SMK Putra,SMK Derma hinggalah ke luar negara.

UMNO mulai zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman patut dikagumi kerana dasar tolak ansur Tunku sehinggalah mencapai kemerdekaan dan penubuhan Malaysia dan peletakan asas kepada penyatuan kaum di negara ini .Setelah peristiwa 13 Mei 1969 dan setelah negara bertukar perdana menteri kepada Tun Abdul Razak pelbagai langkah rangsangan dibuat untuk memajukan kaum yang dikenali sebagai Bumiputera bagi mengekang ketidakpuasan kaum ini hinggalah ke era pemerintahan Tun Hussein Onn.

Setelah itu tiba pula era Tun Mahathir yang genius dalam semua bidang di dunia. Hinggalah akibat hendak merealisasikan impiannya dengan pantas, rakyat telah diperlihatkan akan kehebatannya di peringkat negara dan persada dunia.

Namun pelbagai perubahan dan pembangunan yang dilakukannya telah membawa padah kepada rakyat dan negara dalam tempoh jangka panjang. Salah guna kuasa, korupsi, ISA, OSA, Akta Hasutan, kronisme, ketegangan hubungan antarabangsa khususnya dengan Amerika dan isu Palestin, peningkatan kos hidup, agihan ekonomi negara secara tidak adil,mengaut kekayaan untuk anak-anak adalah antara ciri-ciri pentadbirannya yang membinasakan negara yang kaya dengan hasil bumi ini di samping dasar penswastaan yang gagal dan membebankan rakyat serta isu kekebalan raja-raja Melayu yang akhirnya menyebabkan perdana menteri yang menjadi kebal.

Campur tangan politik yang keterlaluan dalam PDRM, kehakiman, peguam negara, SPRM, tentera dan jabatan-jabatan serta agensi-agensi kerajaan seperti SPR telah menambahkan kebinasaan kepada negara. Itulah antara sebab Malaysia menduduki antara tangga teratas korupsi dan penghantaran wang haram ke luar negara.

Oleh itu UMNO perlu muhasabah diri, salahkan diri sendiri, dan jangan salahkan pihak lain. Jangan gunakan kekerasan kerana ianya akan mengundang malapetaka seperti berlaku di Iran, Iraq, Mesir, Tunisia, Libya, Oman, Thailand, Filipina dan Indonesia sebelum ini di mana negara kecundang pemerintahannya akibat kebangkitan rakyat.

Sebenarnya DAP telah menunjukkan urus tadbir yang baik melalui sistem cekap, akauntabel dan telus (CAT) walau pun pelbagai fitnah dilemparkan oleh UMNO. Inilah satu-satunya cara untuk membela rakyat Melayu, Cina, India,dan lain-lain daripada kongkongan pemimpin BN yang angkuh.

Saya akan terus berjuang dalam DAP. Kebenaran dan keadilan akan terserlah jua akhirnya.

Abdul Manan

29 Mei 2011


SURAT PEMBACA

Tahniah atas kemunculan Roketkini

Sekalung tahniah kepada pihak pengarang yang telah berjaya “mencipta” Roketkini.com. Sebagai anak jati Pulau Pinang yang tinggal di negeri lain untuk mencari rezeki, saya sentiasa mengikuti perkembangan di Pulau Pinang.

Tidak sangka “Abang Lim” (Ketua Menteri M Pulau Pinang) yang sentiasa saya ikuti ceramah beliau semasa di Taman Melewar (sekitar tahun 1998 – 2008) kini menjadi Ketua Menteri di negeri kelahiran saya.

Menangkis penyelewengan fakta adalah tanggungjawab setiap manusia yang cintakan kebenaran. Baik Pakatan Rakyat atau BN, rakyat yang berilmu akan menilai setiap tulisan sama ada ia berpaksi kepada kebenaran atau kepalsuan atau semata-mata retorik untuk mendapatkan undi.

Teruskan dengan kandungan ilmiah dan menjadi “lidah rakyat” tanpa mengira agama, kaum dan parti.

Saya pasti Roketkini.com akan menyerlah sebagai wadah maklumat baru rakyat Malaysia.

Fazarudin Sujairi

29 Mei 2011


SURAT PEMBACA

Sokongan padu kepada DAP dan Pakatan Rakyat


Pertama sekali saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan tahniah kepada DAP kerana telah mencetuskan satu fenomena baru yg positif sejajar dengan perkembangan politik semasa - roketkini.com.

Diharap agar usaha murni kalian untuk mendekati rakyat disamping menyebarkan maklumat terkini dan tepat (boleh dipercayai) melalui roketkini.com akan dapat memangkin atau mempercepat perubahan terhadap politik tanahair yg pada masa ini bergelumang dengan pelbagai isu kotor, jijik, berpaksikan kejahatan dan membelakangkan rakyat kepada suasana yang lebih baik demi kesejahteraan rakyat umum tanpa mengira agama dan keturunan.

Untuk menambah kualiti dan memberi daya tarikan kepada portal roketkini.com saya mencadangkan agar diadakan satu ruang bagi pembaca atau umum untuk sama-sama berkarya mencurah idea dan menabur bakti wadah perjuangan melalui penulisan.

Saya dan isteri telah mendaftar sebagai pengundi ingin menyertai DAP kerana percaya dengan teras perjuangan parti.

Di samping itu, kami juga kagum dengan “good governance” yang ditunjukkan dan diketahui umum dalam pentadbiran DAP di negeri Pulau Pinang.

Saya mewakili kaum keluarga, saudara, ratusan sahabat dan kenalan saya yang rata-rata mempunyai pandangan serupa terhadap perkembangan politik negara ingin menyatakan bahawa kami akan memberi sokongan padu kepada DAP dan Pakatan Rakyat sekaligus berusaha untuk bersama-sama melenyapkan BN dari muka bumi Malaysia pada pilihan raya umum ke-13 yg bakal menjelang tiba.

“Better to die fighting for freedom then be a prisoner all the days of our life…” – Bob Marley.

M. Suffry

25 Mei 2011