Media Arus Perdana Semakin Ghairah Mengipas Najib dan BN

Rakyat Malaysia secara amnya menerima hakikat media arus perdana di negara ini di bawah kawalan Umno-Barisan Nasional. Ia diterajui oleh barisan editor yang akan berbuat apa sahaja untuk “mengipas” Perdana Menteri Najib Razak yang merestui pelantikan mereka.

RTM, misalnya, kini memulakan semua siarannya dengan slogan “Salam Satu Malaysia”. Ini agak melucukan. Bagaimanapun ia boleh diterima sebagai hak stesen itu. Begitu juga di TV3 dan NTV 7. Keghairahan untuk memastikan setiap acara Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri mendapat liputan luas dalam semua buletin juga adalah hak stesen berkenaan. Namun umum juga tahu motif mereka berbuat demikian jauh menyimpang dari nilai-nilai kewartawanan.

Yang memualkan ialah apabila media arus perdana yang sekian lama menolak tulisan-tulisan blog di internet, tiba-tiba menjadikannya sebagai bahan berita utama dalam akhbar atau siaran berita mereka. Yang di pilih tentunya ialah artikel yang dimuatkan untuk menghentam, melemparkan fitnah dan memburuk-burukkan pemimpin pembangkang dan parti yang mereka wakili.

Artikel-artikel yang mempersoalkan kewibawaan pemimpin BN tidak pula mendapat tempat dalam media arus perdana walaupun ruang siber saban hari sarat dengan artikel dan laporan yang ditulis oleh tokoh-tokoh berpengalaman, secara bernas bersandarkan alasan tuntas.

Akhbar Star dan Utusan Malaysia sudah membuka standard baru dalam kewartawanan di negara kita dengan mula memilih artikel-artikel di ruang siber untuk membidas pemimpin-peimpin kanan Pakatan Rakyat. Mungkin mereka kekurangan bahan berita untuk memenuhi kuota mingguan membidas pembangkang. Mungkin ia mencerminkan agenda sempit pengarang dan ketua pengarang. Apapun ia mencerminkan satu trend yang hanya akan mengakibatkan standard kewartawanan negara menggelongsor lebih teruk.

Lebih mengejutkan, Utusan dan The Star bersengkongkol dalam melakukan “jenayah” kewartawanan ini. Ia dikatakan kegiatan jenayah kerana artikel-artikel itu tidak bersandarkan fakta, dan tidak pula timbul sebarang usaha untuk mendapatkan reaksi daripada pihak yang dikritik.

Segala asas keadilan yang menjadi tiang kewartawanan dirobek dan dipinggir begitu sahaja, asalkan tuan punya media dapat “mengipas’ Perdana Menteri dengan sebaik mungkin.

Ia juga satu persengkongkolan kerana setiap laporan fitnah dalam Utusan Malaysia akan diambil, diciplak dan digunakan oleh akhbar Star sehari dua kemudian; seolah-olah ini dilakukan secara terancang.

Kes terbaru ialah tulisan blog Saiful Bukhari Azlan yang membuat tuduhan sempit bahawa Anwar Ibrahim menyalahgunakan sistem mahkamah kononnya untuk melengah-lengahkan perbicaraan kes liwatnya. Sehari selepas itu dimuatkan pula reaksi daripada S.Nallakarupan, presiden Parti Demokratik India yang kononnya bersetuju dengan tulisan Saiful. Sehari selepas itu laporan sama “tiba-tiba” wujud dalam The Star.

Anehnya kedua-dua akhbar itu tidak rasa terpanggil untuk mendapatkan reaksi daripada peguam Anwar atau pun pakar-pakar perundangan yang berwibawa.

Tidak pula dirujuk langsung, sikap berdolak dalih, berpeluk tubuh yang diambil oleh Jabatan Agama Islam dalam mengendalikan saman Qazaf yang difailkan oleh Anwar terhadap Saiful.

Tidak pula dirujuk keengganan dan kemudiannya kelewatan pendakwaraya menyerahkan bukti-bukti terhadap Anwar bagi membolehkan beliau menyediakan pembelaannya. Atau bagaimana dua perancang utama dalam kes Anwar – Ketua Polis Negara Musa Hassan dan Peguam Negara Gani Patail cuba memalsukan bukti terhadap Anwar dalam kes mata lebam, sebagaimana yang diakui oleh pegawai penyiasat dalam kes berkenaan. Semua ini adalah dalam rekod awam (public domain).

Ada banyak lagi aspek yang sengaja tidak disentuh dalam laporan Utusan dan The Star. Tidak perlulah diteka kenapa dua akhbar arus perdana yang menggelar diri “Penyebar Fikiran Rakyat” (Utusan) dan “Akhbar Rakyat” (The Star) berbuat demikian.

Sebelum ini Utusan dan Star turut menyiarkan laporan-laporan misteri di Internet semata-mata untuk menguatkan alasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) kononnya Teoh Beng Hock adalah mangsa angkara pemimpin Pakatan Rakyat sendiri!

Utusan turut menyiarkan artikel dari blog Zulkifli Nordin, seorang ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat apabila beliau membidas Khalid Samad mengenai isu tunjuk perasaan kepala lembu. Namun akhbar sama tidak pula sanggup menyiarkan jawapan balas Khalid.

Berdasarkan kepada fenomena terbaru ini, tidak keterlaluan mengatakan jenis kewartawanan yang dibawa oleh Utusan dan The Star membuka satu lagi “detik hitam” dalam kewartawanan negara, sehingga membawa perbandingan kepada amalan media milik rejim di Myanmar dan Korea Utara.

Wartawan dan bekas-bekas wartawan dari akhbar Star khususnya semakin bimbang melihat akhbar itu dimanipulasi oleh pengurusan baru yang dilantik oleh presidennya Ong Tee Keat.

Dalam usaha untuk memenangi sokongan dan mengipas Najib, Tee Kiat telah membawa masuk seorang pengarah urusan baru yang ghairah masuk campur dalam keputusan-keputusan “editorial” semata-mata untuk melindungi kepentingan politik Ong.

Oleh kerana itulah, penjelasan-penjelasan yang diberikan oleh musuh politik Ong, Chua Soil Lek hampir-hampir digelapkan sepenuhnya oleh akhbar The Star. Yang ditonjolkan ialah berita-berita bagaimana Presiden MCA ikhlas dalam segala tindakannya. Yang dipadamkan ialah bagaimana orang sama menggunakan kapal terbang mewah secara percuma daripada syarikat yang mempunyai urusan dengan kementeriannya. Turut ditutup ialah butir-butir penuh pihak yang mendakwa memberikan RM10juta sebagai derma kepada Presiden MCA.

Rasanya kertas tidak akan mencukupi untuk menghuraikan berita-berita yang dipadam, diolah fakta dan diputarbelitkan oleh Utusan, Berita Harian dan New Straits Times. Begitu juga TV3 dan RTM.

Cukuplah sekadar merumuskan rakyat akan terus disajikan dengan berita-berita fitnah oleh akhbar-akhbar seperti The Star, Utusan Malaysia, New Straits Times, Berita Harian, TV Tiga, RTM dan sebagainya untuk sekian lama lagi.

Selagi Barisan memerintah, keadaan ini akan berterusan. Penguasaan Umno ke atas Utusan, NST, Berita Harian, TV 3 dan sebagainya dan MCA ke atas The Star terlampau sukar untuk dilepaskan parti-parti berkenaan.

Akhbar-akhbar dan stesen televisyen telah begitu lama menjadi alat politik dan propaganda paling utama bagi menjamin kelangsungan Umno-Barisan Nasional.

Itulah hakikatnya. Selagi parti politik tidak memutuskan ikatan mereka dengan akhbar dan media elektronik, selagi itulah kewibawaan media arus perdana di Malaysia akan terus menggelongsor.

Sumber: http://www.tvantara.com/v1/