Keputusan Hakim Bercanggah Dengan Perlembagaan

Seramai 6 daripada 11 Hakim Mahkamah Persekutuan dikenalpasti membelakangkan peruntukan perundangan dan Perlembagaan dalam membuat keputusan pada beberapa perbicaraan termasuk yang membabitkan kemelut politik Perak, bekas Hakim Mahkamah Rayuan NH Chan mendedahkan.

6 hakim berkenaan masih berkhidmat walaupun mereka telah mencabuli Kod Etika Hakim 1994 dan boleh dipecat kerana gagal melaksanakan tanggungjawab secara berwibawa dan amanah.

Chan enggan menamakan hakim-hakim berkenaan secara terbuka tetapi mendedahkan bahawa sikap berat sebelah 'kumpulan 6' itu terserlah setelah tercetusnya krisis perlembagaan di Perak.

Kes-kes bersabit kemelut di Perak menonjolkan kecenderungan 6 Hakim Mahkamah Persekutuan itu untuk mengambil keputusan yang berpihak kepada BN walaupun penghakiman mereka jelas bercanggah dengan Perlembagaan Negara.

"Sejak berlakunya krisis politik Perak terdapat beberapa keputusan mahkamah yang tidak adil. Sekiranya krisis ini tidak berlaku kita tidak mungkin dapat membezakan 'permata dengan batu' di kalangan hakim-hakim kita," kata Chan.

"Setakat ini saya telah mengenalpasti 6 hakim Mahkamah Persekutuan yang tidak melaksanakan tanggungjawab mereka berpandukan undang-undang. Saya boleh tambah jumlah ini dengan kalangan hakim-hakim Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi," kata Chan yang dihormati kerana keberaniannya menegakkan keadilan semasa dalam perkhidmatan.

Sumber : Suara Keadilan