Elizabeth tawar letak jawatan atas dasar prinsip



Elizabeth Wong, 37, mengumumkan pendiriannya untuk meletakkan jawatan Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar serta Adun Bukit Lanjan ekoran penyebaran gambar dan video separuh bogel kepada umum.
Atas dasar prinsip sebagai exco kerajaan Pakatan Rakyat beliau mengumumkan pendirian tersebut dalam sidang media jam 11.40 pagi di Ibu Pejabat KeADILan Pusat, di sini.

Ketika Elizabeth mengumum menawarkan diri meletakkan jawatan, lebih 25 penyokongnya berteriak meminta agar Adun Bukit Lanjan itu beliau tidak berbuat demikian.

Penyokong beliau yang hadir pada sidang akhbar pagi tadi turut membawa kain rentang menyatakan sokongan terhadapnya dan memberikan beberapa kalungan bunga.

Turut hadir dan memberi kenyataan dalam sidang itu, Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Mohd Salleh; Ahli Parlimen Ampang, Zuraidah Kamaruddin; Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teresa Kok, Dr Xavier Jayakumar dan Naib Presiden KeADILan, R Sivarasa.

Elizabeth membacakan kenyataan media dengan nada sebak ketika menyatakan, "Bagaimanapun, demi kepentingan parti, saya telah memutuskan untuk menawarkan peletakan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor dan juga Adun Bukit Lanjan."

Penyokong-penyokongnya terus melaungkan supaya Elizabeth tidak meletakkan jawatan dan mereka akan tetap memberi sokongan padu.

"Saya menerima sokongan padu daripada keluarga, pemilih kawasan saya, rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, sahabat dan masyarakat umum," katanya.

Beliau akan berbincang dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk mengatur penyerahan tanggungjawabnya dengan baik. Saya akan meneruskan khidmat untuk rakyat dan berjuang untuk keadilan di Malaysia," katanya.

Sementara itu Ustazah Nuridah Mohd Salleh menegaskan perkara yang menimpa Elizabeth itu menjelaskan, BN sebenarnya tidak mampu untuk menerima kekalahan mereka dalam pilihan raya di mana-mana negeri.

Beliau berkata, pimpinan BN akan cuba sedaya upaya mencari berbagai cara untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di mana-mana.

"Saya mewakili Dewan Muslimat PAS Pusat berharap seluruh kepimpinan Pakatan Rakyat akan terus bersiap sedia kerana mungkin banyak lagi akan mereka lakukan terhadap kita," katanya yang terharu dengan kejadian menimpa Elizabeth.

Beliau yang mengenali Elizabeth dan sama-sama berada dalam Gerakan Mansuhkan ISA amat menghormati keputusan dan menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti KeADILan untuk menentukan sikap seterusnya.

"Saya berharap rakyat akan terus memberikan sokongan yang padu sehingga Umno-BN tumbang daripada menjadi pemerintah negara," tegasnya.

Tambah Nuridah, BN sudah terlalu lama dan mereka sebenarnya sudah tidak berupaya untuk meneruskan agenda rakyat sebab itu mereka melakukan apa cara bagi memastikan harapan berterusan.

Naib Presiden KeADILan, R. Sivarasa pula berkata, pihaknya menerima keputusan Elizabeth dengan berat hati tetapi bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil jika diadakan.

Sivarasa menegaskan, Pakatan Rakyat bersedia menghadapi pilihan raya kecil di Perak, di Kedah dan juga di sini di Selangor.

HarakahDaily